iklan

23.5.12

Debat Anwar dan Najib selepas KJ dan Rafizi?

Debat antara Khairy Jamaluddin dengan Rafizi Ramli malam tadi menarik perhatian banyak pihak. Bukan seperti pertandingan debat biasa, debat ini bukanlah bertujuan untuk mencari pemenang. Tiada hakim yang dilantik untuk mengadili setiap hujahan yang diberikan. Saya pasti pemenangnya adalah rakyat. Dalam debat ini, banyak angka dan fakta ditaburkan oleh kedua-dua mereka. 

Cumanya, apakah fakta-fakta dan angka-angka tersebut sahih dan boleh diterima pakai? Ini kerana kebiasaannya dalam sesi perdebatan, pendebat akan berfikir sepantas mungkin dan menyusun ayat dengan seberapa segera. Dikhuatiri angka-angka tersebut hanyalah sekadar dipetik untuk menunjukkan sisi kebolehpercayaan khalayak tanpa ada pihak yang mengesahkannya. Sekarang terpulang kepada khalayak untuk menilai sendiri kebenaran fakta-fakta tersebut.

Serang menyerang antara satu sama lain adalah salah satu strategi debat. Dalam hal ini saya melihat banyak serangan dilakukan oleh Rafizi. Sesekali Khairy cuba membalas balik. Dalam sesi serang-menyerang ini saya melihat di sini ada berlaku sedikit ruang yang boleh diperbetulkan kerana tujuan debat adalah untuk mencari penyelesaian dengan cadangan-cadangan yang baik bukannya mengulang-ulang kenyataan yang klise seperti mengaitkan Khairy dengan bapa mentuanya.

Seperti biasa, kehebatan Rafizi seolah-olah dibayangi oleh ketuanya, Anwar Ibrahim. Memang saya akui beliau memang hebat berhujah. Ada beberapa hujahannya memukau saya. Khairy sendiri tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau tidak menjawab beberapa soalan, namun itulah kehebatan seorang pendebat. Beliau bijak mencari jawapan selamat.

Khairy Jamaluddin dalam perkara ini merupakan spesis unik dari partinya. Keberaniannya wajar dijadikan contoh kepada para pemimpin Umno yang sehingga kini masih lagi menikus apabila diajak berdebat di dalam isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Bagi Rafizi pula, beliau memberikan harapan baru bahawa PKR dan PR juga sudah bersedia untuk menyajikan para pemimpin berkualiti bertaraf antarabangsa yang boleh membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Kedua-dua mereka harus dipuji kerana berjaya membina satu iklim baru dalam politik tanah air. Keterbukaan mereka untuk berdebat dengan disaksikan jutaan rakyat adalah satu langkah untuk membina kematangan politik tanah air. Rakyat berpeluang untuk menilai sendiri letak duduknya sesuatu isu yang selama ini banyak dimanipulasikan oleh media tempatan samada di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Cabaran moderator untuk mengadakan debat antara Anwar Ibrahim dengan Najib Tun Razak saya alu-alukan. Saya amat teruja untuk melihat pertembungan mereka berdua walaupun kita sendiri tahu akan kehebatan Anwar dalam berbahasa. Dapat dibayangkan bagaimana Najib terkial-kial untuk menepis serangan Anwar. Namun, Najib sendiri bukanlah calang-calang pengucap. Stail mereka mungkin tidak sama. 

Sehingga ke hari ini, secara peribadi saya tidak dapat melihat siapa calon yang boleh diketengahkan untuk berdebat dengan Anwar walaupun Shabeery Cheek pernah bertembung dengannya dahulu. Khairy mungkin hebat namun pengalaman Anwar mampu menyebabkan Khairy berbuih mulut seperti Shabeery Cheek dahulu. Kita menanti debat seterusnya.

Kepada penganjur, tahniah di atas usaha ini. Keberanian penganjur membuka ruang untuk demokrasi tumbuh subur kerana rakyat Malaysia amat merindukan media yang berintegriti, berkualiti, mempunyai kredibel dan menghayati semangat demokratik dan juga politik hujah.



Read more...

21.5.12

Siapa Ditangkap Khalwat?


Syabas kepada pegawai penguatkuasa anti maksiat daripada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri yang kerap kali membuat operasi ke hotel-hotel dan tempat-tempat rekreasi yang lain untuk mencekup mereka yang melakukan khalwat ataupun penzinaan yang terkutuk itu dan begitu juga pusat-pusat pelancuran dan rumah urut.

Walaupun begitu diperhatikan pusat-pusat dan tempat maksiat serta berlakunya penzinaan haram di bilik-bilik hotel dan di kawasan taman perumahan nampaknya menjadi-jadi dan bukannya semakin berkurangan dan apakah puncanya solah-olah kebanyakkan umat Islam di negara ini mencabar kewibawaan jabatan agama iu sendiri sehingga tidak merasa gerun di hati mereka kepada hukuman yang menanti itu nanti.

Ini adalah kerana selagi hukum yang Islam bawa melalui ajaran Al-Quran yang diperintahkan supaya manusia patuhikan itu tidak diikuti sepenuhnya. Kita lebih yakin dengan kaedah perundangan daripada apa Yahudi dan Nasrani bawa lagi daripada hukum yang dibawa oleh Rasulullah SAW bawa itu sendiri. Di manakah akuan kita untuk mengikut sunnah Nabi jika sekiranya kita sendiri memandai-mandai mengubah apa yang ditetapkan dan tergamak kita menodai segala sunnah yang dibawa itu?

Dalam pada itu agak musykil juga mengapa hanya hotel-hotel bajet sahaja diserbu bagai nak rak tetapi hotel bertaraf 5 bintang atau 6 bintang seperti seolah-olah tutup sebelah mata sahaja dan begitu juga kenapa hanya rumah-rumah urut yang kecil-kecil sahaja diserbu sedangkan rumah urut eksklusif dan nampak mewah itu dibiarkan begitu sahaja dan mengapa taman perumahan yang bertaraf kondo yang mewah yang mempunyai pegawai sekuriti 24 jam itu tidak dibuat pemeriksaan jika sekiranya ada berlakunya maksiat dikalangan umat Islam di sana dan apakah keistimewaan mereka yang berkedudukan tinggi atau kaya ini sehingga diberikan kelanggaran begitu rupa?

Kalau benar-benar pegawai penguatkuasa anti maksiat daripada Jabatan Agama Islam ini prihatin sudah tentu tiada pilih bulu agar ianya berlaku adil kepada semua dan bukannya menetapkan atau menentukan kawasan untuk mencekup orang awam bawahan sahaja tetapi membiarkan golongan elit bergelumang dengan segala kemaksiatan.


Read more...

19.5.12

Panduan Buat Isteri Yang Malas Memasak


Salah satu perkara yang menyenangkan hati suami apabila pulang ke rumah ialah menikmati hidangan yang dimasak sendiri oleh isterinya. Begitu juga dengan anak-anak. Tidak ada perkara yang lebih membahagiakan daripada menikmati hidangan hasil air tangan ibu mereka. Malah makan bersama merapatkan lagi hubungan antara seisi keluarga.

Tetapi kini keadaannya sudah jauh berubah. Memasak makanan di rumah dan kemudian makan bersama sudah tidak menjadi amalan keluarga zaman sekarang. Memandangkan semakin ramai wanita bekerja di luar rumah, memasak untuk keluarga sudah jarang dilakukan.

Mereka yang jarang memasak mungkin akan merasakan ia satu tugas yang berat. Bagaimanapun terdapat beberapa panduan untuk memudahkan kerja memasak dan lebih enak untuk dijamah.

Rancang Hidangan
Adalah penting untuk merancang menu terlebih dahulu. Ia mungkin cuma mengambil masa beberapa hari atau seminggu dua lebih awal. Ketahuilah apa yang akan dimasak pada keesokan hari. Pastikan masakan anda mudah disediakan serta menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi.

Sediakan Senarai Barang Belian 
Sesudah anda merancang hidangan mudah menggunakan bahan ramuan yang mudah diperolehi, anda boleh memenuhkan kabinet di dapur dengan bahan-bahan ini. Simpanlah senarai barangan ini dan periksalah berapa yang masih tinggal. Cuba beli barang keperluan ini ketika jualan murah tetapi perhatikan juga tarikh tamat tempoh penggunaannya.

Sediakan Senarai Belian Runcit
Sungguhpun pada mulanya ia akan memakan masa namun ia menjimatkan masa pada masa depan. Buat senarai barangan yang biasa dibeli secara mingguan atau bulanan. Apabila tiba masa untuk berbelanja, catatkan senarai barangan yang hendak dibeli.

Simpan Senarai Harga 
Ketahui apa yang dibelanjakan ke atas barang makanan. Gunakan buku nota kecil untuk mencatatkan harga ketika membeli dan simpan senarai itu di dalam komputer. Ini penting untuk mengetahui bajet anda.

Gunakan Petak Penyejuk Beku 
Ketika memasak, cubalah agihkannya kepada dua bahagian. Simpanlah satu bahagian dalam petak penyejuk beku untuk dimakan apabila anda kesuntukan waktu untuk memasak. Ini boleh menghalang anda dari berkejar ke tempat makan atau restoran makanan segera.

Jaga Kebersihan Dapur
Memasak dalam dapur yang bersih dan tersusun rapi lebih menyeronokkan daripada memasak dalam keadaan dapur yang berselerak. Biasakan membersih dapur sambil anda memasak.

Mudah bukan? Siapa kata memasak kerja susah?


Harap dapur saja cantik, masaknya malas...!



Read more...

17.5.12

Sebiji Mangga Putik Buat Guru

Semalam semua guru di Malaysia menyambut Hari Guru. Pelbagai acara diatur untuk memeriahkan sambutan. Salah satu acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakkan guru adalah acara memberi hadiah oleh murid-murid. 

Bercerita tentang hadiah Hari Guru, saya pernah berdepan dengan situasi yang hampir membuatkan air mata jantan saya menitik. Situasi ini berlaku semasa saya menjalani praktikum di sebuah sekolah di daerah Bahau, Negeri Sembilan. Dalam suasana gembira, kanak-kanak mencari guru masing-masing untuk diberikan hadiah. Saya sebagai guru praktikum sudah pasti menerima banyak hadiah. Di satu sudut, saya melihat ada seorang murid saya duduk keseorangan sambil tangannya seolah-olah menyembunyikan sesuatu.  Saya menghampirinya. Mulutnya terkunci rapat apabila saya menegurnya.

Tangannya pantas menghulurkan hadiah kepada saya. Hadiah yang dibungkus kemas dengan helaian suratkhabar itu saya sambut dengan seribu tanda tanya. Apakah hadiahnya?

Saya tidak sabar untuk pulang membuka hadiah tersebut. Sampai sahaja di rumah, hadiah lain saya ketepikan dan terus mengoyak bungkusan hadiah dengan pembalutnya daripada helaian-helaian suratkhabar lama. Saya merungkaikan ikatan tali rafia sebagai pengganti riben.

Saya tersentap apabila bungkusan tersebut dibuka. Airmata saya hampir keluar. 

Sebiji buah mangga putik sebagai hadiah Hari Guru!


Saya terus terbayangkan keadaan murid tersebut. Dengan baju kumal dan kasut rabaknya, dia tersenyum ke arah saya. Saya dapat membayangkan bagaimana dia membungkus hadiah tersebut dengan dikelilingi oleh adik-beradiknya yang lain. Alangkah....

Begitulah tingginya penghargaan dia kepada saya. Dengan sebiji buah mangga putik, dia menghantar perasaan sayangnya kepada saya.

Setiap kali tiba 16 Mei, saya akan teringatkan peristiwa ini. Walaupun hanya sebiji mangga putik, kanak-kanak tidak mahu terlepas peluang untuk meraikannya dengan pemberian hadiah kepada guru kesayangan mereka.

Saya amat beruntung kerana peristiwa ini menyedarkan saya akan nilai kasih sayang seorang kanak-kanak. Saya pasti akan mengingatinya sampai bila-bila.

Read more...